Konsep Tujuan dan Perlembagaan Malaysia dan menjelaskan Kontrak Sosial

KONSEP, TUJUAN DAN CIRI-CIRI PERLEMBAGAAN MALAYSIA






02DEE17F1071-MUHAMMAD IZZUDDIN BIN ZAINAL ABIDIN

02DEE17F1083-MUHAMMAD FARHAN HAKIMI BIN MOHD FAKHRUDDIN

02DEE17F1111-SAIFUL AMIRUL BIN SAIFUL AZRUL

02DEE17F1103-MUHAMMAD AKMAL BIN RAMLAN
02DEE17F1038-LEE JUN HAU
02DEE17F1181-MUHAMMAD HAKAM BIN AB HAKAM


KONSEP PERLEMBAGAAN MALAYSIA

Pengenalan
    Sebelum kedatangan kuasa asing ke Tanah Melayu, beberapa negeri di Tanah Melayu telahpun mempunyai sistem pemerintahan tersendiri. Hal ini dapat dilihat pada zaman Kesultanan Melayu Melaka yang mengamalkan Undang-Undang Laut Melaka dan Hukum Kanun Melaka. Sementara itu, negeri-negeri yang lain mengamalkan adat tradisional, iaitu Adat Temenggung dan Adat Perpatih. Adat Perpatih biasanya diamalkan di Negeri Sembilan dan Melaka. Masyarakat Melayu tradisional mementingkan adat dalam kehidupan mereka. Situasi ini menggambarkan telah wujudnya suatu sistem yang mengawal dan mengatur tata cara hidup masyarakat pada masa itu. Perlembagaan moden hanya diperkenalkan setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dan dikemaskinikan setelah terbentuknya Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.

Definisi Perlembagaan
    Perlembagaan merupakan prinsip-prinsip asas yang menentukan cara sesebuah negeri itu diasaskan dan diperintah seperti yang termaktub dalam undang-undang, adat atau peraturan yang lazim dipakai. Perlembagaan juga bersangkut paut dengan cara keputusan-keputusan awam dicapai dan kuasa diagih-agihkan antara institusi kerajaan, sama ada di pusat ataupun pada peringkat tempatan. Perlembagaan juga akan menetapkan had-had kewibawaan kerajaan dan cara-cara pemilihan serta pelantikan pemerintah. 


Ciri-ciri Perlembagaan
    Secara umumnya, Perlembagaan terbahagi kepada dua jenis, iaitu Perlembagaan Bertulis dan Perlembagaan Tidak Bertulis.
  • Perlembagaan Bertulis - merupakan bentuk perlembagaan yang dikumpulkan dan disusun dalam sebuah dokumen. Perlembagaan bertulis ini mengandungi tiga sifat yang utama, iaitu: 
  1. kukuh dan sukar untuk dibuat pindaan melainkan ada peruntukan dalam perlembagaan tersebut yang membolehkannya dipinda.
  2. Parlimen mempunyai kuasa membuat undang-undang terhadap perkara yang terkandung dalam perlembagaan, tetapi Parlimen dilarang membuat undang-undang yang bertentangan dengan kebebasan asasi.
  3. Mahkamah mempunyai kuasa untuk mentafsir undang-undang dan melindungi perkembagaan. 
  • Perlembagaan Tidak Bertulis - merangkumi semua prinsip perlembagaan yang tidak terkumpul dalam satu surat atau dokumen, contohnya Akta Parlimen dan keputusan-keputusan mahkamah. Malaysia mengamalkan perlembagaan bertulis, iaitu Parlimen mendapat kuasa daripada perlembagaan. 


Tujuan Perlembagaan




  • Mewujudkan pemerintahan yang adil - kewujudan perlembagaan dari segi sejarah berdasarkantolak ansur antara kaum dalam beberapa perkara seperti hak istimewa orang Melayu, bahasa Melayu, agama Islam dan lain-lain lagi. Sebagai contoh, walaupun perlembagaan persekutuan memperuntukkan agama Islam sebagai agama Persekutuan/rasmi negara (dalam Bahagian 1, Perkara 3(1)), tetapi agama lain juga bebas diamalkan di Malaysia.
  • Mengelakkan penyalahgunaan kuasa dan mengawal pergerakan kerajaan dan rakyat - Perlembagaan Persekutuan Malaysia bukan sahaja memperuntukkan kuasa kepada pemerintah, tetapi juga kepada rakyat. Keadan ini secara tidak langsung akan membentuk pembahagian kuasa dan dapat mengelakkan daripada dominasi kuasa oleh sesuatu pihak. Sebagaimana yang digariskan dalam perlembagan, terdapat beberapa peruntukan khas tertentu untuk YDPA serta sultan/raja/Yang Dipertua Negeri. Dalam hal ini, walaupun baginda mempunyai bidang kuasa tertentu, tetapi segala tindakan mereka adalah tertakluk kepada Perlembagaan.
  • Alat penyelesaian masalah - perlembagaan telah menjadi undang-undang tertinggi negara dan menjadi rujukan utama dalam penggubalan undang-undang Persekutuan dan Negeri. Sebarang masalah dalam pembuatan undang-undang atau rujukan apa-apa hukuman kepada seseorang warganegara adalah berasaskan perlembagaan.
  • Mengekalkan riwayat negara bangsa - mengekalkan identiti negara bangsa Malaysia kerana melalui perlembagaan, sistem pentadbiran dan perjalanan undang-undang negara dapat dilaksanakan.
  • Menjaga kestabilan negara - terdapatnya sekatan-sekatan dalam perlembagaan yang mengawal pergerakan setiap warganegara Malaysia walaupun mereka diberi kebebasan dan keistimewaan tertentu. Namun, kebebasan dan keistimewaan ini ada hadnya apabila terdapat perkara-perkara yang difikirkan perlu untuk menyekat kebebasan mereka (Bahagian 2, Perkara 10). 




Kontrak Sosial

Kontrak adalah perjanjian formal dengan syarat-syarat tertentu antara dua pihak atau lebih. Ia juga bermaksud dokumen yang mengandungi syarat-syarat perjanjian atau cabang undang-undang yang berkaitan dengan kontrak. Sosial pula boleh ditakrifkan sebagai segala yang berkaitan dengan masyarakat, perihal masyarakat dan kemasyarakatan. Oleh itu, kontrak sosial apabila diasimilasikan boleh ditakrifkan sebagai satu bentuk perjanjian atau permuafakatan yang ditulis dan ditetapkan oleh undang-undang yang melibatkan semua masyarakat di sesebuah negara. Ia juga merupakan satu istilah permuafakatan antara kaum yang dicapai sebelum merdeka melalui satu persetujuan di kalangan rakyat dan pemimpin yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina danIndia. Pemeteraian kontrak sosial ini juga turut disertai dan dipersetujui oleh parti-parti yang mereka wakili iaitu UMNO, MCA dan MIC. Istilah ini sebenarnya tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan 1957 tetapi dari perspektif lain, kontrak sosial sememangnya wujud dalam sejarah negara dan permuafakatan yang dicapai itulah yang mentakrifkan negara Malaysia dan seterusnya menentukan sifat sesebuah Negara.


Kekeliruan Mengenai Kontrak Sosial

Perdebatan mengenai kontrak sosial hangat dibincangkan di media tempatan apabila akhbar Mingguan Malaysia pada 14 Ogos 2005 menyiarkan laporan yang memetik ucapan Presiden Parti Gerakan, Datuk Seri Lim Keng Yaik yang menggesa parti-parti politik di negara ini melupakan formula kontrak sosial antara kaum kerana ia didakwa membuatkan masyarakat Cina dan India merasa ‘kecil hati'. Berikutan itu, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin membidas kenyataan tersebut dengan mendakwa ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Reaksi serupa daripada kalangan beberapa pemimpin UMNO turut disiarkan di media.
Datuk Seri Lim Keng Yaik kemudian menafikan beliau membuat kenyataan tersebut sambil mendakwa bahawa kata-kata beliau telah disalah tafsir. Bagaimanapun beliau telah memohon maaf secara terbuka dan menjelaskan bahawa beliau tidak pernah berhasrat mempersoalkan atau menukar formula kontrak sosial antara kaum yang dipersetujui semasa Negara mencapai kemerdekaan. Sehubungan dengan itu juga. Kabinet pada 17 Ogos 2005 mengarahkan supaya semua perdebatan mengenai isu tersebut dihentikan.


Apa Yang Dimaksudkan Dengan Kontrak Sosial?

Kontrak sosial adalah persetujuan yang dicapai sebelum merdeka di kalangan para pemimpin Melayu, Cina dan India dan parti-parti yang mereka wakili, UMNO, MCA dan MIC. Bagaimanapun, kontrak sosial harus dianggap sebagai satu persetujuan di kalangan masyarakat berbilang kaum, bukan hanya pemimpin atau kumpulan elit tertentu. Permuafakatan itu mendapat sokongan rakyat sebagaimana yang terbukti melalui kemenangan Perikatan dalam pilihan raya 1955. Rakyat perlu memahami fakta sejarah bahawa kontrak sosial dicapai melalui proses muafakat dan musyawarah.


Mengapa Isu Kontrak Sosial Timbul?

Isu ini timbul mungkin kerana kontrak sosial ini telah dibentangkan kepada masyarakat sebagai satu persetujuan antara elit pada masa tertentu, dalam keadaan tertentu. Ini menyebabkan generasi baru menganggapnya sebagai tidak lagi relevan. Sebahagian masyarakat bukan Melayu juga menganggapnya kontrak sosial sebagai sesuatu yang dikaitkan dengan kewarganegaraan. Ia suatu pemberian yang diberikan kepada mereka yang pada masa itu yang merupakan imigran atau keturunan imigran.Oleh sebab itu generasi bukan Melayu sekarang menganggapnya sebagai sesuatu yang sudah berlalu. Mereka juga tahu bahawa hak istimewa masyarakat bumiputera adalah sebahagian daripada kontrak sosial. Oleh kerana bukan Melayu diberikan kewarganegaraan atas syarat-syarat tertentu, masyarakat bumiputera pula diberikan perlindungan melalui fasal-fasal dalam Perlembagaan tentang hak istimewa. Kepada mereka kompromi ini terikat kepada masa tertentu, jadi mereka tidak nampak relevannya sekarang.


Adakah Kontrak Sosial Terkandung Dalam Perlembagaan?

Kontrak sosial bukan istilah yang wujud dalam Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1957 tetapi permuafakatan yang mewakili semangat Perlembagaan. Dengan adanya kontrak sosial ketika proses ke arah mencapai kemerdekaan, usaha telah dapat dilakukan untuk menggubal Perlembagaan. Ia merupakan muafakat antara kaum yang mewarnai Perlembagaan, persepakatan yang diterjemahkan ke dalam Perlembagaan. Walaupun istilah kontrak sosial tidak ada dalam Perlembagaan tetapi semangatnya ada pada ciri-ciri perlembagaan itu.


Apakah Perkara Penting Perlu Difahami Dalam Kontrak Sosial?

Rakyat Malaysia perlu memahami kontak sosial dengan jelas berdasarkan kepada fakta sejarah. Kontrak sosial harus difahami sekurang-kurangnya tentang hubung kaitnya kepada empat perkara utama iaitu - perlembagaan, kemerdekaan, hubungan kaum dan sistem pemerintahan negara. Tanpa kontrak sosial mungkin kita tidak dapat mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 kerana pihak British ketika itu menjadikan permuafakatan itu sebagai prasyarat. Kontrak sosial adalah anak kunci kepada hubungan kaum sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan. Kontrak sosial juga asas kepada sistem pemerintahan yang menjadikan kita negara demokrasi berparlimen raja berperlembagaan dengan konsep negeri dan persekutuan.


Apakah Hubung Kait Kontrak Sosial Dengan Negara dan Bangsa Malaysia?

Perlembagaan Persekutuan diwujudkan hasil daripada kontrak sosial yang dilahirkan daripada permuafakatan pelbagai kaum di negara ini. Perlembagaan itulah juga yang mentakrifkan negara kita serta menentukan sifat bangsa dan negara Malaysia.Malaysia adalah Negara berbilang kaum yang wujud daripada konsep Malay polity atau sistem kenegaraan Melayu. Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1957 memberikan kewarganegaraan terbuka kepada bukan Melayu, sebahagiannya imigran dan diterima secara automatis sebagai warga Negara dan diberikan jus soli.Inilah antara sifat negara dan bangsa Malaysia yang harus difahami - berbilang kaum tetapi berakar umbi dalam sistem kenegaraan Melayu. Perlembagaan juga mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai
agama rasmi dan sistem pemerintahan beraja.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PERANAN AL-QURAN & AL-HADIS DALAM MELAHIRKAN MINDA MUSLIM SUPER